Showing posts with label Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Berita Harian. Show all posts

Thursday, June 25, 2009

Semua Agama Relevan Jayakan 1Malaysia

Oleh : Mohd Ayop Abd Razid

KONSEP 1Malaysia, gagasan diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak bertujuan memperkukuh perpaduan rakyat. Pelbagai perspektif sudah dibahas mengenai gagasan terbabit merangkumi perspektif pentadbiran, pembangunan, sosial, politik dan keselamatan.

Rencana ini cuba menjelaskan nilai yang ada dalam beberapa ajaran agama utama di negara kita. Nilai yang dibincangkan ini diharap dapat memberi gambaran daripada perspektif agama, gagasan 1Malaysia sangat relevan dalam membina negara bangsa yang kukuh.

Penulis tidak bercadang menyentuh nilai ajaran Islam kerana ia sudah banyak ditulis di samping buku mengenainya mudah diperoleh. Pemikiran agama atau 'pemikiran luhur' menjadi asas utama dalam tamadun ketimuran, terutama di rantau Asia dan Asia Barat.

Dalam konteks negara kita, ia menjadi semakin penting kerana kepelbagaian agama yang wujud di negara ini memerlukan setiap penganutnya memahami dan menghormati antara satu sama lain. Prasangka terhadap orang lain wujud apabila kita meletakkan minda kita berada dalam tembok perkauman atau keagamaan sempit terhadap orang lain.

Islam misalnya, agama mengajar kepelbagaian bangsa yang wujud bertujuan saling kenal mengenal antara satu sama lain (Surah Al-Hujurat, ayat 13). Justeru, di dalam ajaran Islam wujud dua sistem perhubungan manusia, iaitu perhubungan secara 'vertikal' antara manusia (hamba) dengan Allah dan perhubungan secara 'horizontal' antara manusia sesama manusia.

Demikian juga bagi penganut agama lain pasti mempunyai ajaran tertentu dalam perkara mengenai hubungan sesama manusia bagi melahirkan kehidupan harmoni dalam masyarakat dan negara. Di negara kita kepercayaan kepada Tuhan menjadi prinsip utama dalam Rukun Negara yang menjadi panduan hidup rakyat.

Nilai mulia yang ada dalam ajaran pelbagai ajaran agama juga dilihat selari prinsip kelima Rukun Negara iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan'. Kita mulai dengan ajaran Hinduisme. Tokoh etika Hinduisme, Patan Jali menerangkan wujud dua konsep dalam Hinduisme.

Pertama, konsep Yamas yang menitikberatkan pembinaan sahsiah diri. Ia mengandungi lima prinsip etika, iaitu tidak menghasut (asteya), tidak tamak haloba (aparigraha), tidak menipu dan amanah (sathya), baik fizikal dan rohani (bramacharia) dan pemikiran baik (ahimasa).

Konsep kedua ialah Niyamas iaitu nilai etika untuk kepentingan masyarakat. Ia mengandungi lima prinsip etika merangkumi bersih perlakuan (saucha), hormati orang lain (santhosa), membantu orang lain (tepaha), dermawan (iswariaparanidha) dan hidup berdisiplin (suadhyaya).

Dalam konteks masyarakat majmuk, tabiat menghasut antara kaum boleh menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara serta mengancam keselamatan negara. Justeru, seseorang penganut Hindu yang baik mengamal prinsip etika itu pasti akan menjadi rakyat yang baik, sekali gus menjayakan gagasan 1Malaysia.

Ajaran Buddhisme yang diasaskan oleh Sinddharta Gautama Buddha turut mengajar beberapa nilai mulia untuk diamalkan penganutnya. Walaupun ajaran Buddhisme lebih berpusat kepada diri manusia, ajaran sila (moral) Buddha menekankan hukum sejagat berlandaskan sebab akibat, iaitu perbuatan baik akan meninggalkan kesan baik, sebaliknya perbuatan jahat akan meninggalkan kesan buruk pada individu itu. Dalam ajaran 'Jalan Lapan Lapis Mulia', seorang penganut Buddha perlu memiliki pandangan betul, fikiran betul, pertuturan betul, kesedaran betul, tumpuan betul dan pemahaman serta usaha yang betul.

Semua lapan nilai terbabit menekankan cara berfikir, sikap dan amalan betul bagi mencapai kedamaian dalam hidup. Ini tidak bermaksud semua penganut Buddha perlu menjadi sami (rahib) tetapi cukup nilai itu diamalkan dalam kehidupan mereka. Justeru, sekiranya penganut Buddha menghayati dan mengamalkan 'Jalan Lapan Lapis Mulia' itu, pasti mereka menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan.

Ajaran Buddha turut menekankan kasih sayang sesama manusia. Pastinya kasih sayang terhadap orang lain akan terbit apabila wujudnya perasaan hormat menghormati dan saling mempercayai di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Hormat menghormati dan saling mempercayai antara kaum dan agama adalah dua asas penting dalam gagasan 1Malaysia. Dalam Konfucianisme pula, ajarannya yang bersifat falsafah menekankan etika dan nilai moral.

Prinsip moralnya terangkum dalam ajaran 'Lima Kebaikan' iatu Ren'(perasaan kasih sayang), Li (cara pentadbiran yang baik), Yi (kebaikan hati), Zhi (kebijaksanaan) dan Sin'(dapat dipercayai). Ajaran Konfucius mengajar penganutnya bahawa sifat kemanusiaan amat penting dalam hidup bermasyarakat.

Antara sifat yang terangkum dalam sifat kemanusiaan termasuk berlapang dada, boleh dipercayai, bersopan santun, rajin berusaha dan bersifat lemah lembut. Ren yang dianggap nilai moral tertinggi dalam ajaran Konfucius kerana mengajar kasih sayang sesama manusia.

Ajaran Kristian pula mementingkan etika ke arah betul atau salah satu perbuatan itu. Sumber ajaran Kristian ialah Bible yang terdiri daripada Old Testament yang mengandungi 'Sepuluh Rukun' (The Ten Commandments).

New Testament pula mengandungi 11 prinsip ajaran. Penulis mengenalpasti dalam The Ten Commandments terdapat empat nilai yang ada kaitan langsung dengan kehidupan bermasyarakat iaitu jangan merampas hak jiran, jangan membunuh, jangan berzina dan jangan mencuri. Di dalam New Testament pula nilai yang ada kaitan langsung dengan masyarakat ialah jangan menghina orang lain, jangan tamak, berikan kasih sayang kepada orang lain dan kasihkan jiran.

Akhirnya, penulis menyorot nilai mulia yang ada dalam agama Sikh. Agama Sikh yang berasal daripada ajaran Kabir yang mencampurkan ajaran Islam dan Hindu dikumpul oleh pengikut dalam kitabnya yang dikenali Bijak.

Ajaran Kabir kemudiannya dikembangkan oleh Guru Nanak. Seorang lagi guru Sikh bernama Arjan menghasilkan kitab Adi Granth (Kitab Utama) yang memuatkan khutbah Guru Nanak, sajak Kabir dan beberapa guru lain sebelumnya. Antara nilai utama dalam ajaran agama Sikh ialah kesamarataan, tidak sombong, menghormati guru dan menyebarluaskan kasih sayang sesama manusia.

Kesimpulan, dilihat daripada perspektif pelbagai agama, konsep 1Malaysia amat relevan untuk membina perpaduan erat di kalangan rakyat. Ia dapat membina tamadun Malaysia yang unik dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama tetapi bertunjangkan 'bangsa Malaysia' yang bersatu padu. Sebahagian nilai yang disebutkan dalam beberapa ajaran agama ada persamaan dengan beberapa nilai yang dihurai dan dijelaskan oleh Najib di dalam blognya.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

SUMBER : BERITA HARIAN, 24 JUN 2009

Tuesday, May 26, 2009

DOSA BEKAS PEMIMPIN PKM TIDAK BOLEH DIMAAF : DS DR. RAIS YATIM

KUALA LUMPUR: Tiada ruang buat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk kembali ke negara ini kerana dosa dilakukannya terhadap pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pemimpin yang melahirkan perasaan simpati terhadap Chin Peng perlu mengemukakan pendirian secara jelas tanpa berselindung di sebalik tabir politik kepartian.

“Chin Peng dan komunis yang membunuh rakyat negara ini dan tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat atau bersimpati kepadanya.

Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Kita tidak boleh mendewakan komunis, ribuan yang sudah mati di tangan komunis. Usah mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan pemikiran rakyat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan kementeriannya di sini, semalam.

Dr Rais berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memantau dan mengawal perkembangan laman blog yang menyokong komunis serta cuba menanam semangat komunisme di kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, beliau akan mengemukakan kepada Kabinet mengenai kemunculan beberapa laman blog dilihat memberi pujian atau melahirkan nostalgia kepada komunis dan maklumat diperoleh mengenai perkara itu akan disalurkan kepada KDN.

“Mengenai kemunculan blog dilihat menyokong komunis, kami akan cari jalan untuk menanganinya, langkah tak perlu cakap, semuanya sudah diatur dan kesannya nanti saya percaya akan memberi pandangan yang membina supaya komunisme tidak menjadi kegilaan atau diminati mana-mana generasi.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan di bawah bidang tugas saya, tetapi saya sudah minta beliau siap siaga melihat kecenderungan ini,” katanya.

Mengulas mengenai gagasan 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sering disalah tafsir pihak tertentu terutama pembangkang, beliau akan menggerakkan semua agensi di bawah kementeriannya untuk memberi penerangan.

SUMBER : BERITA HARIAN, 26 MEI 2009

Monday, April 27, 2009

PAS : Letak syarat terima kerajaan campuran

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak menolak pembentukan kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) jika Pas ditawarkan kementerian penting seperti kewangan dan pelajaran.

Nik Abdul Aziz berkata, jika BN ingin menawarkan Pas untuk bersama membentuk kerajaan campuran, mereka mesti bersedia untuk menyerahkan dua kementerian berkenaan kepada wakil parti itu.

Perkara itu dinyatakan anak lelaki Nik Abdul Aziz, Nik Abduh, dalam blognya, sambil mendakwa pembantu bapanya cuba melaga-lagakan antara beliau (Nik Abdul Aziz) dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Pas perlu miliki kementerian yang penting bagi membolehkan program Islam dilaksanakan.

"Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai bapa. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan kerana bukankah beliau lantang menolak Kerajaan Perpaduan dan bukankah beliau berang dengan cadangan Abdul Hadi.

"Biar saya beritahu anda, bapa hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah agama itu ada, bagaimana beliau akan tolak mentah-mentah," katanya.

Beliau mendakwa, Nik Abdul Aziz menolak Kerajaan Perpaduan adalah disebabkan hasutan pembantunya yang kononnya serba tahu dan mereka berseronok untuk melaga-lagakan antara kedua-dua tokoh Pas itu.

Katanya, Nik Abdul Aziz pernah menghentam kerajaan campuran tetapi selepas pertemuan 10 minit dengan Abdul Hadi, beliau tidak lagi menyerang Presiden Pas itu kerana sudah mendapat penjelasan sebenarnya.

Nik Abduh berkata, pembantu bapanya kini tidak berpuas hati atas kegagalan mereka untuk melaga-lagakan Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Berhubung pemilihan menjelang Muktamar Pas Jun ini, Nik Abduh berkata, wujud usaha yang dirancang rapi untuk memisahkan kepimpinan ulama daripada menerajui parti itu.

Katanya, nama Nik Abdul Aziz juga digunakan yang kononnya menyokong sesetengah pihak bagi tujuan mencapai hasrat mereka untuk memperoleh kemenangan.


Sumber : Berita Harian, 27 April 2009

Masjid Besi : Mercu tanda baru Putrajaya

Masjid Besi mampu tampung 20,000 jemaah, bakal tarik pelancong

PUTRAJAYA: 'Masjid Besi' berharga RM200 juta di Presint 3 di sini yang dijangka siap sepenuhnya Ogos ini, bakal menjadi mercu tanda baru bandar raya pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini termasuk tarikan pelancong dan keselesaan beribadat.

Kontraktor pembinaan sudah diarah menyiapkan masjid berkenaan mengikut tempoh ditetapkan dan apabila siap ia berkenaan boleh menampung jemaah sehingga 20,000 pada satu-satu masa.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata antara ciri istimewa masjid yang dibina menggunakan 6,000 tan keluli yang membentuk 70 peratus daripada bahan binaannya menggabungkan teknologi moden dari Jerman dan China.

Apabila siap, masjid berkenaan akan diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bakal diberikan nama lain. Masjid mula dibina pada 2004 tetapi pembinaannya terlalu perlahan.

Keluli yang menjadi kerangka tiang dan dinding masjid juga dikemaskan dengan bahan telus cahaya dikenali ‘crystalized glass’ bagi membolehkan ia kelihatan berwarna putih dari jauh.

Apabila malam, cahaya lampu akan menambah keindahan masjid yang boleh dilihat dari jambatan Seri Saujana.

Setiap panel dinding luar masjid dinamakan Masyrabiah diperbuat daripada anyaman besi tahan karat atau ‘architectual wire mesh’ yang mempunyai ciri unik iaitu telus cahaya dan angin membuatkan pengunjung selesa dengan hembusan angin segar.

Malah, masjid berkenaan tidak mempunyai kipas angin, sebaliknya menggunakan menggunakan sistem pengudaraan udara sejuk dalam bangunan masjid bagi menggantikan sistem penghawa dingin.

Beliau berkata, anyaman Masyrabiah diimport khas dari Jerman dan menjadikan ia satu-satunya bangunan dengan anyaman besi tahan karat di negara ini.

Ia juga dilitupi panel bercorak geometri pada bahagian luar, juga daripada jenis besi tahan karat selain hiasan kaligrafi di setiap ruang bangunan itu.

Perjalanan ke masjid melalui sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid, Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi. Kawasan yang menghadap kiblat itu dihiasi kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba al-Hambra.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal ketika meninjau pembinaan masjid itu, memberitahu kontraktor beliau mahu sembahyang Tarawih di masjid itu pada Ramadan akan datang atau jika tidak siap akan sembahyang di luar masjid.

"Apabila siap nanti saya berharap masjid ini akan menjadi mercu tanda dan daya tarikan baru kepada orang ramai dan pelancong asing dari seluruh dunia datang ke Putrajaya pada masa depan," kata

INFO: Masjid Besi, Putrajaya

10 bazar atau ruang niaga dalam kawasan masjid.

Bilik pameran mampu memuatkan 250 orang.

Bilik pengurusan jenazah.

Bilik kawalan audio visual

Ruang letak kereta (bawah tanah).

Kiblat Walk - ruang kolam umpama Istana al-Hambra yang menghadap Kiblat.

Iwan Utama - Laluan gerbang utama menuju Sahn yang terukir Asma Ul-Husna.

Sahn - kawasan laman menempatkan ruang solat terbuka dan padang.

Dinding Mihrab - kawasan ruang solat utama, ditempatkan cermin kaca dengan ukiran ayat al-Baqarah dan Ibrahim kelihatan seolah-olah terapung di udara.


Sumber : Berita Harian, 27 April 2009