Tuesday, June 9, 2009

Isu Chin Peng tidak dibincangkan oleh kedua-kedua PM di KL

Oleh : Pemikir-MM

Lawatan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva ke Kuala Lumpur pada 8 Jun 2009 merupakan lawatan pertama beliau menemui YAB Perdana Menteri Malaysia. Pertemuan dua pemimpin ini bertujuan untuk memperbaharui iltizam kedua-dua pihak bagi membawa Kuala Lumpur dan Bangkok ke mercu yang lebih tinggi.

Lawatan seperti ini sudah pasti dapat memberi peluang kedua pemimpin bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu yang perlu diselesaikan. Bangkok ketika ini sedang menghadapi isu keganasan di Selatan Thai. Sejak kebelakangan ini, tembak-menembak yang mengorbankan orang-orang awam di Pattani dan Narathiwat masih belum reda. Ini adalah masalah dalaman negara Thailand dan Malaysia telah memaklumkan bahawa ia tidak terlibat dalam hal ini. Ada elemen-elemen yang cuba melaga-lagakan Bangkok dengan Kuala Lumpur berkaitan apa yang berlaku di daerah-daerah tersebut. Malangnya, mereka ini gagal untuk memburuk-burukkan Kuala Lumpur, malahan hubungan kedua-dua negara semakin erat.

Apa yang berlaku di Selatan Thai di mana terdapat lebih 6 juta penduduk Islam, ialah keperluan perhatian lebih dari pihak Bangkok, terutama dalam bidang-bidang sosioekonomi. Satu masa dulu wujud pejuang-pejuang pemisah yang bertujuan untuk mewujudkan kawasan pemerintahan sendiri merangkumi 4 wilayah. Semasa Jeneral Chhovalit Yongchaiyudh menjadi kepala tentera Thai pada pertengahan 80-an, beliau berjaya mengatasi ketegangan di Selatan Thai. Jeneral ini banyak mendengar rintihan orang-orang Muslim di situ dan tanpa ragu-ragu, melantik pentadbir-pentadbir Islam di 4 wilayah tersebut. Pendekatan ini mungkin masih wujud tetapi perlu ditingkatkan oleh Bangkok, memandangkan bahawa penduduk Islam, yang tidak mempraktikkan program 'Perancangan Keluarga', akan bertambah.

Pemerhati berpendapat bahawa lawatan Perdana Menteri Thailand ini pasti berguna. Fokus kedua-dua pemimpin kepada isu-isu semasa iaitu pergolakan di Selatan Thai, sekaligus telah menenggelamkan isu Chin Peng dan PKM, yang ahlinya banyak menetap di Sukhirin berhampiran sempadan Malaysia.

No comments: