Thursday, November 27, 2008

Usul potong gaji menteri sebanyak RM10 ditolak

USUL memotong gaji Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebanyak RM10 yang dikemukakan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) ditolak dalam persidangan Dewan Rakyat semalam. Teo dalam usulnya meminta gaji Menteri Pelajaran dipotong kerana didakwa gagal memenuhi janji kementeriannya membina enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan keputusan terhadap usul mengikut Peraturan Mesyuarat 66 (9) itu selepas sebahagian besar Ahli Parlimen mengundi secara bersuara menolak usul itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, ketika menggulung usul itu berhujah kerajaan memandang serius isu itu dan sedang menjalankan usaha berperingkat mengikut lunas undang-undang bagi membolehkan pelaksanaannya disegerakan. "Memang benar pada 30 Januari lalu, kita ada mengumumkan akan bina sekolah SJKC, antaranya di Bukit Serdang, Serdang, Sungai Long, Kajang serta Emerald, Rawang. "Pada peringkat ini kita sedang mengambil tindakan susulan selepas perkara itu mendapat sokongan dan komitmen penuh kerajaan kerana proses membina sebuah sekolah bukan senang kerana ia membabitkan soal tapak yang sesuai yang membabitkan urusan pengambilan tanah," katanya.

Sementara itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sekali lagi menimbulkan kekecohan apabila menggunakan perkataan 'keling' yang dituju kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) apabila berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya. Berikutan itu, Mohamad Azmin Ali (PKR-Gombak) meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mengarahkan Tajuddin menarik balik perkataan itu dan tindakan diambil terhadapnya. "Setiap kali berkelakuan begitu, beliau akan terlepas daripada tindakan. Untuk kali ini saya sekali lagi meminta Dewan tidak lagi melepaskannya daripada sebarang tindakan," kata Mohamad Azmin.
Dipetik dari berita harian online

Perak tubuh Sekretariat Blogger sebar dasar kerajaan negeri

Dipetik dari Berita Harian online
IPOH: Dengan alasan tidak mendapat liputan adil media arus perdana, kerajaan Perak menubuhkan Sekretariat Blogger bagi menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata hasil pertemuan beliau dengan Persatuan Blogger Perak semalam, kesemua 26 penulis blog yang hadir berjanji menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan negeri menyebarkan maklumat menerusi tulisan mereka. “Segala maklumat dan berita akan disebarkan secara meluas sehingga ke seluruh dunia menerusi penulis-penulis blog ini,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat negeri Perak di sini malam tadi.
Mohammad Nizar berkata seketariat itu, yang diketuai oleh setiausaha akhbar beliau, Anuar Hashim, dapat menepis tomahan, kritikan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan negeri.
Putri: Jangan salah gunakan kebebasan yang diberi dalam menyampaikan maklumat sudahla...diharap mereka tak memutar belitkan kenyataan untuk kepentingan parti dan individu semata-mata...

RTM2 MULLING OVER NEW MANDARIN TALKSHOW

NSTP 27/11/08

The Information Ministry plans to air on RTM2 a similar Mandarin talk shows as the 'What Say You' programme has been shelved due to a decreasing number of viewers, said its minister Datuk Ahmad Shabery Cheek.

He said the decision would depend on public feedback on the show that was shelved together with two other programmes.

"We still have one and a half months to receive feedback on the programme," he said, adding that the programme would be under a different title.

RTM is currently undergoing a restructuring process and would be rolling out new programmes next year, he added.

Ahmad Shabery had earlier said that "what Say You" aired at 7pm every Sunday ranked 331 with only 170,000 viewers.

Speaking to reporters after receiving a memorandum presented to him by 300 Chinese youth non-governmental organizations on the shelving of the talk show, he urged people not to politicize the issue.

Malacca state executive council member Datuk Gan Tian Loo, who is also president of Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia, presented the memorandum to Ahmad Shabery at the Parliament lobby yesterday.

Makanan di KL tidak sedap?

Utusan Online

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Ahli Parlimen dari Johor, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) hari ini mengkritik rasa makanan di bandar raya Kuala Lumpur yang bukan sahaja mahal tetapi tidak sedap langsung.

Mohamad juga mempersoalkan mengapa restoran dan kedai makan di bandar raya ini terlalu kotor.

‘‘Makanan di Kuala Lumpur tak sedap. Saya tengok warga bandar raya walau dihidangkan besi pun dia akan ‘balon’ dan tak ada standard sebab itulah peniaga mengambil kesempatan.

‘‘Makanan di Kuala Lumpur ini tidak boleh dimakan langsung. Kalau minta mi bandung, tak rasa mi bandung, tom yam, asam pedas dan pelbagai lagi tidak rasa seperti makanan tersebut,” dakwanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan menggulung perbahasan di peringkat jawatankuasa Bajet 2009 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menegaskan, kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diajar untuk melaksanakan tugas mereka dalam memastikan ibu negara mencapai standard yang ditetapkan.

Wednesday, November 26, 2008

Atasi Penyelewengan Kad Pengenalan

Jabatan Pendaftaran akan meningkatkan mutu kad pengenalan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menyeleweng dokumen tersebut. Ini memandangkan terdapat beberapa sindiket yang menggunakan kad pengenalan yang hilang untuk tujuan penjualan kepada Pendatang Tanpa Izin yang tidak mempunyai sebarang dokumen masuk ke Malaysia. Mutu kad pengenalan sekarang lebih baik daripada yang asal di mana agak sukar untuk dikoyak. Kad Pengenalan baru juga menggunakan sistem biometrik yang menggunakan kaedah cap jari yang menyukarkan sindiket untuk terus memalsukan dokumen tersebut. Mekanisma ini dilihat dapat menangani sindiket penjualan kad pengenalan palsu memandangkan cap jari setiap orang berbeza antara satu sama lain.

Atasi Isu Pekerja Asing

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Seorang Ahli Parlimen hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.
Malah dengan nada berang, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut menempelak Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.‘‘Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini.‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Mohamad, sudah bertahun-tahun kementerian itu memaklumkan akan menyelesaikan isu kehadiran ramai pekerja asing tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit dibuat.Beliau yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat termasuk sembilan tahun sebagai Ahli Parlimen juga kesal kerana sehingga kini tiada sebarang langkah tegas diambil bagi memastikan pekerja rakyat tempatan mendapat gaji munasabah iaitu lebih tinggi berbanding golongan miskin tegar.
Tindakan Mohamad yang berkali-kali meninggikan suara kepada Noraini itu ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahukan sikap sedemikian dihentikan.
Dalam pada itu, Noraini yang menjawab soalan asal Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) menjelaskan, pendapatan purata asas setiap pekerja di negara ini adalah berbeza mengikut sektor dan ia juga berdasarkan proses rundingan antara persatuan majikan dan kesatuan sekerja.Katanya, pendapatan purata asas adalah sebanyak RM573 sebulan bagi pekerja kedai kopi, RM628 sebulan (pertanian), RM697 sebulan (perhotelan), RM853 sebulan (pasar raya) dan RM952 sebulan (pembinaan).
Sementara itu, sesi soal jawab bertukar suasana kepada ceria apabila Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) yang bangun untuk mengemukakan soalan seterusnya, memaklumkan bahawa hari ini adalah tarikh lahirnya.
Sumber: Utusan Malaysia (26 Nov. 2008)
**************************************
Oleh: Citra Adora
Sewajarnya kadar gaji pekerja-pekerja rakyat tempatan disemak atau dikaji semula sejajar dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini dan mereka perlu diberi sejumlah pendapatan yang berpatutan. Kajian mengenai perkara ini pula janganlah mengambil masa yang lama. Dalam hal ini isu rakyat tempatan yang dikatakan kononnya memilih pekerjaan yang 'senang-senang' dan bergaji mahal tidak harus dibangkitkan lagi kerana kita sendiri sedia maklum ramai graduan universiti yang masih tidak mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan ijazah mereka namun tetap juga bekerja di syarikat-syarikat yang menawarkan gaji yang kecil. Begitu juga dengan mereka yang berkelulusan SPM, STPM dan sebagainya. Semuanya ingin mencari pekerjaan yang boleh menampung kehidupan diri serta keluarga.
Isu kebanjiran pendatang/pekerja asing juga perlu diberi perhatian kerana kedatangan mereka hanya menyempitkan peluang dan ruang untuk rakyat kita mencari rezeki di tanah airnya sendiri. Di samping itu kewujudan mereka yang terlalu ramai di bandar-bandar utama khususnya Kuala Lumpur begitu menakutkan kerana mengundang risiko pelbagai kes jenayah.

Malaysia Konsisten Mengutuk Keganasan Entiti Zionis Dan Tel Aviv Di Palestin

Oleh: Pemikir

MP Batu Pahat telah mengusulkan kepada Dewan usul meminta Parlimen membincangkan perkara berkaitan dengan zionisme. Speaker berhujah bahawa perkara ini telahpun dibincangkan secara mendalam oleh Kementerian Luar dan dengan itu tidak perlulah Dewan membahaskannya. Usul Batu Pahat disokong oleh MP PAS.
Perkara zionisme ini bukanlah satu yang baru dalam Dewan. Malah perkara ini sentiasa menjadi topik hangat di dalam persidangan Dewan semasa entiti zionis mengganas dan menzalimi penduduk-penduduk di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Palestin. Malaysia bersuara lantang mengenai isu ini di persidangan antarabangsa termasuklah di PBB, New York. Keganasan zionis ini dikutuk oleh majoriti ahli-ahli PBB semenjak Israel wujud di atas bumi Arab pada tahun 40-an dahulu. Arab Saudi selama 20 tahun, melalui Wakil Tetapnya di PBB bernama M. Baroody, mengutuk keras pembentukan entiti ini. Namun penyokong-penyokong zionis masih berdegil dan tidak mempedulikan ratusan resolusi-resolusi PBB mendesak entiti zionis memberhentikan kegiatan zalim mereka.
Wisma Putra mempunyai pendirian yang konsisten dalam hal ini dan tidak putus asa memperjuangkan hak mutlak rakyat Palestin yang tidak berhenti-henti menghadapi keganasan dan pembunuhan oleh serangan peluru berpandu dan pesawat-pesawat udara/helikopter.
Pemerhati bersetuju dengan keputusan Speaker kerana ada perkara-perkara lain yang lebih penting perlu diselesaikan. Mungkin zionisme ini boleh diutarakan dalam sesi-sesi yang bersesuaian dalam Dewan.

Yoga Haram Bagi Umat Islam

Oleh: Tulip Desa
Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan keputusan fatwa mengharamkan senaman yoga dan meminta agar umat Islam berhenti daripada mengamalkannya kerana bertentangan dengan hukum syarak. Pengharaman ini dilaksanakan bagi mengelakkan orang Islam tersasar jauh daripada ajaran Islam. Senaman Yoga berasal daripada masyarakat Hindu yang menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan.
Sehubungan itu, Tulip merasakan adalah wajar umat Islam di negara ini menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan sebarang persoalan serta dengan hati terbuka. Umat Islam perlu berwaspada terhadap sebarang kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan kerana dikhuatiri akan memesong dan menghakis akidah seseorang. Kepada masyarakat bukan Islam, pengharaman yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bukan bertujuan untuk menghina agama lain tetapi sebagai panduan dan rujukan kepada umat Islam. Masyarakat bukan Islam bebas mengamalkannya tanpa sebarang masalah.

Tulip juga mengharapkan pihak pembangkang tidak mempolemik isu tersebut sebagai menghormati peranan Majlis Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan mengikut lunas yang sah dan diiktiraf oleh undang-undang untuk meningkatkan syiar Islam. Kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Negeri amatlah penting agar keputusan ini dapat diwartakan secepat mungkin. Menteri Penerangan, YB Dato' Ahmad Shabery Cheek turut menyatakan kesediaannya mempelawa pihak JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memperjelaskan isu tersebut kepada rakyat melalui saluran RTM dan Jabatan Penerangan. Menurut beliau, sudah menjadi amalan Kementerian Penerangan menyediakan instrumen dalam memberikan penjelasan kepada rakyat marhaen terhadap dasar atau isu supaya dapat merungkai kekeliruan rakyat.

Dilema dan Harapan Ibu Bapa Pelajar-Pelajar SRJK(T)

Oleh : Perry

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil SRJK(T) adalah warisan penjajah British di Malaysia.Kemudahan untuk membelajari bahasa ibunda Tamil atau Cina adalah termaktub dalam ‘kontrak sosial’ yang tercapai antara pemimpin-pemimpin pelbagai kaum dalam mencapai kemerdekaan negara ini.

Sejarah menunjukkan bahawa pada tahun 1957, sejumlah 888 sekolah Tamil wujud di Persekutuan Tanah Melayu apabila negara ini mencapai kemerdekaan daripada belunggu penjajah. Kebanyakan sekolah-sekolah Tamil adalah terletak di ladang-ladang getah kepunyaan syarikat British.Namun, bilangan itu telah berkurangan menjelang tahun 2000. Pada tahun 2008, hanya 523 buah sekolah Tamil sahaja didapati wujud di Malaysia. Pelbagai alasan diberikan oleh pelbagai pihak untuk kekurangan bilangan sekolah Tamil. Pihak kerajaan melaporkan bahawa kekurangan sambutan daripada ibu bapa terhadap sekolah Tamil merupakan faktor utama yang menyebabkan menyusut jumlah sekolah Tamil. Tetapi aktivis dalam masyarakat Tamil pula menafikan alasan tersebut,malah mendakwa bahawa mobiliti dalam masyarakat pekerja ladang akibat dasar pembangunan negara (estate fragmentation ), kemerosotan kualiti pengajaran, kekurangan kemudahan pengajaran dalam sekolah dan kedudukan buruk bangunan sekolah merupakan faktor-faktor utama yang menyebabkan ibu bapa menolak sekolah-sekolah Tamil.

Namun demikian, tidak dapat menafikan bahawa sejak merdeka, kerajaan Barisan Nasional, tidak abaikan tanggungjawabnya dalam menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar Tamil untuk membelajari Bahasa Tamil, malah mengekalkan aliran SRJK(T) supaya pelajar-pelajar Tamil dapat mengikuti pendidikannya di peringkat rendah dalam bahasa ibunda.

Di samping itu, kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Barisan Nasional telah memperuntukan berjuta-juta ringgit untuk membina dan membaiki SRJK(T) yang uzur di seluruh Malaysia. Walaupun peruntukan yang disediakan itu didakwa tidak mencukupi, kerajaan terus mengambil berat untuk menyediakan dana bantuan kewangan kepada SRJK(T) setiap kali Rancangan Malaysia Lima Tahun disediakan . Bantuan kewangan kerajaan disalurkan dalam dua bentuk iaitu bantuan Modal dan bantuan penuh kepada SRJK(T).

Sehubungan ini, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak selaku menteri kewangan, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 50 juta untuk membina,membaiki dan mempertingkatkan bangunan-bangunan SRJK(T) yang uzur di seluruh Malaysia .

Sementara itu, menurut laporan media , kerajaan –kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat juga telah meluluskan peruntukan yang agak besar untuk tujuan yang sama di negeri masing-masing.

Sebagai contoh, media melaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah meluluskan 1.5 juta untuk SRJK(T) daripada RM 8.5 juta yang diperuntukan untuk sekolah-sekolah rendah di negeri Pulau Pinang. Negeri Pulau Pinang mempunyai 28 buah SRJK(T).Manakala, kerajaan negeri Selangor pula telah meluluskan RM 4 juta untuk 97 buah SRJK(T) di negeri Selangor.

Kaum India menyambut baik initiatif kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang berkenaan.Namun, apa yang menjadi kerumitan dan sungutan dikalangan ibu bapa pelajar-pelajar SRJK(T) adalah bahawa peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan tersebut tidak disalurkan kepada sekolah-sekolah yang sangat memerlukan bantuan kewangan. Malah, terdapat gurubesar dan pentadbiran SRJK(T) di negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak berusaha ,malah menolak bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajan negeri-negeri dibawah Pakatan Rakyat.

Sikap guru besar dan pentadbiran SRJK(T) sedemikian di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat amat dikutuk oleh ibu bapa pelajar-pelajar Tamil, malah menimbulkan kemarahan di kalangan kaum India terhadap pemerintah.Malah , terdapat ahli-ahli politik parti pembangkang mendakwa bahawa kerajaan Barisan Nasional menghalang gurubesar sekolah Tamil menerima bantuan daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dakwaan tersebut menimbulkan persepsi bahawa Barisan Nasional lebih mementingkan kepentingan politik daripada kepentingan pendidikan pelajar-pelajar Tamil. Persepsi sedemikian mampu mengurangkan populariti BN di negeri-negeri tersebut dalam jangka masa panjang. Apakah dakwaan tersebut itu benar?

Sungguhpun peruntukan yang disediakan untuk SRJK(T) oleh kerajaan , samaada kerajaan persekutuan ataupun kerajaan negeri, adalah wang rakyat yang dikutip daripada hasil cukai pendapat rakyat.Wang tersebut adalah wang rakyat dan rakyat yang memerlukan bantuan harus dibenarkan menikmati bantuan tersebut. Perbezaan kefahaman politik antara parti-parti politik yang bertanding untuk berkuasa memerintah tidak harus menjadi batu halang kepada pelajar-pelajar Tamil yang amat memerlukan bantuan dan sokongan.

Masyarakat Tamil sering didakwa tertinggal dalam arus pembangunan negara,malah tidak disediakan sebarang dasar ekonomi bersifat ‘affirmatif’ atau khas untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.Dengan itu, kerajaan persekutan dan negeri di bawah Pakatan Rakyat perlu mememikir hal ini dan bersikap lebih mementingkan pendidikan pelajar-pelajar SRJK(T) kerana pendidikan merupakan satu-satunya aset utama bagi pelajar-pelajar Tamil dalam proses meningkatkan martabat mereka dalam masyarakat ,malah selaras dengan dasar peningkatan human capital yang diajukan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri.

Sekiranya kerajaan persekutuan dan negeri tidak bertambil hadapan untuk mengatasi kebuntuan dalam menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan itu kepada SRJK(T) tanpa berlengah-lengah seperti di harapkan oleh ibubapa, media melaporkan bahawa ibu bapa pelajar-pelajar Tamil tidak akan berdiam diri seperti zaman dahulu,malah akan melancarkan protes secara besar-besaran terhadap pentadbiran SRJK( T) yang menolak bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Tindakan tersebut mampu menguriskan hati sebahagian besar kaum India di Malaysia.

Justeru itu, adalah diharapkan bahawa kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Barisan Nasional bijak mencari jalan untuk menyelesai dilema SRJK(T) tersebut dengan segera supaya dapat mengurangkan perasaan kemarahan yang terpendam dikalangan masyarakat Tamil terhadap kerajaan BN di masa-masa akan datang.

Mahasiswa Lelaki Semakin Pupus?

Oleh: Citra Adora

MP Rembau pada hari ini di Dewan Rakyat mengulangi soalan berkisar ketidakseimbangan jumlah mahasiswa (pelajar lelaki) berbanding mahasiswi (pelajar perempuan) di IPTA. Soalan beliau diperjelaskan oleh MP Tangga Batu (Tim. Menteri Pengajian Tinggi).

MP Tangga Batu memaklumkan bahawa statistik mahasiswa lelaki dan perempuan di IPTA adalah kompetitif. Ini adalah kerana laluan bagi memasuki IPTA adalah terhad bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Bilangan mahasiswi adalah sebanyak 61% manakala pelajar lelaki hanya sebanyak 39%. Jurang ini adalah disebabkan pelajar perempuan lebih menunjukkan kecemerlangan ketika di sekolah menengah. Justeru itu, bilangan pelajar perempuan mengatasi bilangan pelajar lelaki di IPTA dalam kursus pengajian ijazah sarjana muda.

Walau bagaimanapun bagi kursus pengajian PHD, pelajar lelaki lebih mendominasi IPTA. Begitu juga di Politeknik dan di kolej-kolej komuniti. Pelajar lelaki lebih mendapat tempat kerana mereka lebih berminat dalam bidang-bidang kemahiran dan amali.

MP Tangga Batu turut menegaskan bahawa bilangan pelajar perempuan yang ramai di IPTA bagaimanapun tidak akan menjejaskan peluang pelajar lelaki untuk menceburi kerjaya di peringkat profesional.

Pada saya, topik berkaitan gender ini memang menarik untuk diperdebatkan kerana ia secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa kaum wanita di Malaysia semakin maju dan berdaya saing. Ramai wanita yang telah berjaya dan mengecap kejayaan lebih daripada kaum lelaki. Tidak dinafikan golongan perempuan memang sejak dari zaman dahulu lagi memiliki otak yang pintar namun disebabkan oleh beberapa kekangan dan faktor keluarga, mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi pada masa itu.

Apapun senario bilangan pelajar perempuan melebihi lelaki di pusat pengajian tinggi merupakan fenomena global dan biasa kerana kajian jumlah penduduk dunia menunjukkan bilangan wanita adalah lebih ramai daripada lelaki.